Nuffnang Ads

Monday, December 12, 2011

PENGURUSAN EMOSI ANGGOTA TENTERA

Bila orang awam pandang tentera ni terbayang dikepala diaorang tentera ni gila...kenapa begitu yer...Di dalam perkhidmatan tentera mental sentiasa dikaitkan dengan kehidupan tentera.... Ada kata kalau masuk tentera mental kena kuat. Benarkah mental memainkan peranan penting di dalam kehidupan seorang anggota tentera? Di dalam perkhidmatan tentera terdapat beberapa kes bunuh diri disebabkan pengurusan mental dan emosi yang tidak ditangani dengan baik. Mental dan emosi yang tidak diurus dengan baik akan menjurus kepada perlakuan yang berada diluar pemikiran manusia. Sebagai contoh beberapa kes bunuh diri sering dikaitkan dengan tekanan ditempat kerja disamping hal-hal peribadi. Ianya bukan sahaja berlaku di dalam perkhidmatan tentera tetapi juga di dunia awam. Apa pun saya memfokuskan kepada perkhidmatan tentera yang dilihat sangat kritikal. Memikirkan soal kebajikan anggota tentera tersebut, Kementerian Pertahanan telah menubuhkan Unit Kaunseling pada tahun ini sebagai salah satu kaedah mengenalpasti anggota bermasalah dan diberikan kaunseling agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang lebih serius seperti bunuh diri. Terdapat kes seperti ini hanya disebabkan oleh kebajikan anggota tidak dijaga dan sering menyalahkan anggota tersebut tanpa menyiasat terlebih dahulu apa sebenarnya yang berlaku. Untuk mereka yang berperanan sebagai ketua adalah menjadi tanggungjawab meneliti setiap kesalahan yang dihadapi oleh seseorang anggota tersebut. Kebanyakan kes lari dari tugas, bunuh diri dan penyalahgunaan dadah adalah disebabkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja. Sebagai seorang ketua yang bijak, segarang mana atau sekuat mana tekanan yang kita berikan kepada anak buah kita, kebajikan mereka haruslah dijaga dan diberi perhatian. Ini penting sebagai menaikkan moral kepada mereka untuk berkhidmat dengan perkhidmatan tentera dan mengekalkan momentum mereka agar terus berjuang sehingga menamatkan perkhidmatan. Banyak yang kecundang dipertengahan jalan disebabkan pengurusan emosi anggota tidak dibuat dengan baik. Diperhatikan ramai anggota tentera tidak dapat bertahan disebabkan tekanan di tempat kerja. Sebagai sahabat kepada sahabat yang lain, amalan tegur menegur dan bantu membantu amat penting bagi menaikkan moral anggota yang bermasalah. Sebagai seorang anggota tentera pula, seharusnya bijak menguruskan segala bentuk permasalahan yang timbul di atas kesilapan kita sendiri.

Monday, December 5, 2011

BAKARA MARKET 2

Ini ada satu lagi peristiwa tentera kita yang terkorban di Somalia. Rata-rata forumers tak pernah bercerita tentang dua anggota tentera kita yang terkorban. Mereka adalah Alahyarham Ssgt Azman dan mendiang Lkpl Ganie. Konvoi mereka diserang hendap pada 18 July 1994. Detik-detik cerita adalah begini.

Pada 17/7/94 jam selepas isyak Ssjn Azman baru beli camera dari PX tentera asing lalu memanggil kami semua untuk bergambar. Selesai bergambar beliau berkata esok nak berjalan jauh. Berjalan jauh itu bermaksud ada misi sulit untuk mengambil source di RV dan terus ke airport dan selesai hantar source ke RV berlainan. Tim kami pada masa itu bertugas bi bahagian U2 iaitu Unit Risik dan keselamatan UNOSOM. Selesai bergambar Sjn Zaidi ada mengajak saya untuk ikut sekali konvoi mereka kalau mahu. Saya terpaksa menolak kerana pada hari kejadian Tim sniper deploy ke hide kami di K4 berdekatan pasar Bakara. Jadi yang pergi pada esok harinya adalah PWII Mohamad, Ssjn Azman, Sjn Zaidi, Kpl Ahmad, Lkpl Ganie dan ada berberapa lagi anggota yang saya tak ingat nama mereka.

Pada jam 0400hrs tim saya bergerak ke kawasan hide kami saya ambil kedudukan di atas kilang sabun empat tingkat. Saya dan spotter saya Hasmizi Lonjong pun buat pemerhatian terperinci dan kasar. ROE sasaran kami adalah Militia yang membawa RPG, senjata peluru berantai dan pengendali Teknikal (4X4 yang ada mounted HMG).Dari pagi hingga petang tak ada rezeki. Pada petang itu ada NGO dapat memintas channel freq radio saya dan memberitahu ada tentera asing diserang hendap dan ada 2 kia termasuk wia. Kesemua mereka ditahan oleh Militia. Bila dia sebut tentera asing saya tak endahkan. Selang 20 minit saluran radio saya menjadi sibuk, kesemua panggilan dari markas Malbatt. Mereka memberi arahan untuk standby untuk pergi bertempur di pasar bakara. Saya tanya pasal apa dan mereka beritahu konvoi kita kena ambush. Tersentak saya kerana berita yang saya terima dari NGO tu kawan saya. Apa yang saya diberitahu kita punya Gen. Aboo Samah warning Gen. Farah Aidid kalau tak bagi tentera kita yang cedera dan yang mati bakara market akan hancur sekali lagi. Tempohnya pukul 2359hrs. Lebihkurang jam 2330hrs saya diarahkan turun ke RV untuk pergi ke kawasan dimana anggota tentera kita yang kena ambush akan di serah. Saya diberitahu oleh kawan-kawan saya bahawa di Markas Malbatt satu battalion kita tengah standby untuk bertempur. Tempat serahan dari RV tak jauh, ada militia tunggu dengan senjata AK47 mengarahkan kami ikut mereka dengan senjata ditinggalkan Sampai lighter Zippo saya pun disuruh tinggal. Katanya senjata boleh membakar. Apabila sampai ke lokasi saya tengok 2 mayat diatas tilam nipis dan yang cedera hanya dirawat dengan balutan kain lusuh sahaja. Ketua Militia Kol. Abdullahi meminta maaf dan mengatakan bukan kumpulan beliau punya angkara. Kami seramai sepuluh anggota pun mengangkat mayat dan yang cedera ke markas UN di KM4. Sesampai di sana saya pun memeriksa anggota yang tercedera yang parah iaitu Sjn. Zaidi. Dua biji peluru AK47 menembusi ponggong beliau. Saya dan anggota Medic Kpl ??? pun cuba tengok bahagian depan badan Sjn Zaidi peluru tak tembus dan darah memancut keluar. Anggota medic pun apa lagi cucuk morhpin. Selang berberapa minit Sjn Zaidi menangis terisak-isak lalu saya bertanya mengapa sjn? Dalam khayal beliau beritahu "diorang tembak Ganie hidup-hidup. Diaorang kepung Ganie minta serah senjata tapi Ganie melawan dan yang dibelakang terus tembak pointblank dari arah belakang kepala 3 das dan bersepai muka Ganie. Yang cedera ada seorang tentera Italy yang ikut konvoi berkenaan. Selesai saya beri bantuan pada yang cedera saya pun pergi ke mayat Ssjn Azman dan saya tengok tangan nya ada kesan tembakan. Saya pun terpikir tak kan luka tangan boleh mati. Saya terus tanggalkan helmet kevlar beliau barulah saya tengok kesan lubang peluru di atas dahi beliau. Rupanya sniper somali tembak tepat. Tembakan pertama kena tangan, ubah tenangan bull dahi. Saya pun keluar sekejap untuk ambil angin. Sedang saya berdiri ada seorang budak India(Nama tak ingat) junior banyak dari saya memeluk saya sambil menangis terisak-isak sambil berkata "Bang diorang dah bunuh kawan kita". Apabila anggota lain melihat gelagat Budak India ni ramai yang menangis. Dimasa yang sama saya lihat Kapt. Rizan (sekarang Kol) pergi belakang bangunan dan menangis. saya pun memujuk dia dengan mengatakan dah ajal mereka.

Pada kesokan harinya kami bergerak balik ke Markas. Pada hari untuk menghantar Jenazah pulang ke Malaysia satu perbarisan terdiri dari semua tentera yang bertugas di Somalia diadakan. Apabila Keranda Diusung naik Kapalterbang saya tengok barisan kontijen Malbatt bergerak-gerak, mengapa? Rupanya sambil salute mereka menangis. Dihati saya pun berdetik, bagi kaum wanita yang menjadi tentera pernah berkata 'apa yang lelaki boleh buat kami pun boleh buat'. Mustahil, kami ni yang hardcore pun menangis apatah lagi mereka kaum hawa. Kejadian tersebut terjadi kerana kesilapan tentera kita kerana didalam pelajaran apabila kita pergi dengan route yang dah dikenalpasti apabila pulang mesti laluan yang lain. Tetapi kerana dah ajal, pada hari kejadian mereka pulang ikut jalan yang sama.

Ok lah saya pun dah nak ke KL ni ada kerja mungkin dilain masa saya cerita pertempuran di Wilayah Afgooye pula.

P.S Semasa saya mengungkap kembali peristiwa ini saya menangis terkenangkan kawan yang terkorban.

Terima Kasih Sniper Gunung

Saturday, December 3, 2011

Orang Melayu Di dalam Perkhidmatan Tentera US

Gambar Hiasan
Ini adalah pengalaman sebenar sahabat saya yang baru pulang dari misi ISAF di Afghanistan. Beliau menceritakan bagaimana buat pertama kali dia bertemu dengan seorang Melayu warganegara Amerika yang berkhidmat dengan USAF yang berpangkat Sarjan. Memang tidak dinafikan mungkin ramai dikalangan orang Melayu di sana (Amerika) yang menjadi warganegara Amerika berkhidmat dengan tentera US. Sahabat saya ini terlibat dengan ISAF sejak akhir 2010 dan banyak perhubungan diantara tentera Malaysia dengan tentera luar negara seperti Amerika, NZ dan beberapa negara lain. Sahabat saya memberitahu ketika dia sedang berbaris untuk mengambil makanan di Kiwi Base NZ kalau tak silap saya telah disapa oleh seseorang menggunakan bahasa melayu. Dia pun hairan kerana pada ketika itu, hanya dia dan seorang pegawai dari Malaysia sahaja yang berada disitu sedangkan yang lain adalah tentera asing dari US dan NZ. Alangkah terkejutnya kawan saya ini bila dia lihat rupa-rupanya anggota tentera USAF berpangkat Sarjan adalah seorang Melayu. Inilah yang dikatakan budaya Melayu. Walau dimana berada budi bahasa tetap dijaga dan tidak dilupa. Sahabat saya ini berbual dengannya dan bertanya macam mana dia boleh menjadi tentera US. Rupanya keluarga anggota tentera ni telah menetap di Amerika dan telah pun menjadi warganegara Amerika yang sah. Moralnya disini, beliau tidak melupakan asal usul dia walau pun berkhidmat dengan tentera seteru dunia. Yang penting ingatan kepada tanahair adalah lebih penting dari segalanya. Pasti mamat ni teringat lemang, rendang tok dia kut...hehehehe.... Itulah pengalaman berharga sahabat saya ini yang telah diceritakan sendiri kepada saya.

Sunday, November 13, 2011

Rejimen Gerakhas Promo 2011

Gerakhas Promo 2011 khas untuk warga Rejimen Gerakhas klik sini

Wednesday, September 14, 2011

PERTEMPURAN BUKIT CANDU

Pertempuran Bukit Candu adalah satu pertempuran semasa serangan Jepun ke atas Singapura semasa Perang Dunia II. Pertempuran ini menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang disegani di kalangan pasukan tentera Komanwel. Pertempuran ini adalah sebagai lanjutan kepada Pertempuran Pasir Panjang yang berlaku pada hari sebelumnya. Pertempuran ini juga menampilkan keberanian askar Melayu, khususnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi yang sanggup berkorban semasa memberikan tentangan berhabis-habisan kepada askar Jepun.

LATARBELAKANG

Selepas Pertempuran Pasir Panjang, Kompeni “C” dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu diarahkan berundur ke kedudukan Pt. 226 di Bukit Candu. Pemerintah Tentera British mengarahkan pasukan Askar Melayu bertahan di Bukit Candu. Sekiranya kedudukan ini jatuh ke tangan askar Jepun, mereka akan mempunyai laluan terbuka menuju Jalan Alexandra di mana terdapat depoh Tentera British, tempat simpanan peluru dan juga Hospital Alexandra Tentera British. Setelah pasukan tentera Komanwel di sebelah kiri dan sebelah kanan barisan pertahanan pasukan Askar Melayu berundur ke garisan pertahanan yang baru, pasukan Askar Melayu juga terpaksa berundur. Kompeni “C” di bawah pimpinan Kapten H.R. Rix diperintahkan menduduki kedudukan pertahanan di Pt. 226, Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena terdapatnya sebuah kilang memproses candu milik kerajaan British di kaki bukit ini. Di bukit inilah, Kompeni “C” 1 Melayu membuat pertahanan kali terakhir mereka menghadapi serangan Jepun.

BEDILAN BERTERUSAN

Kompeni “C” 1 Melayu ditugaskan bertahan di Bukit Candu (kini Kent Ridge). Mereka dibedil berterusan oleh pasukan artileri Jepun yang mahu memberikan sokongan kepada pasukan mereka yang membuat serangan. Bukit Candu merupakan kedudukan pertahanan yang penting kerana ia merupakan kawasan tinggi yang membolehkan pasukan yang menguasai kawasan tersebut dapat melihat keseluruhan Pulau Singapura di sebelah utara. Dan juga, sekiranya Jepun menguasai Bukit Candu, mereka akan boleh mara tanpa halangan ke Jalan Alexandra, yang menempatkan penempatan tentera yang penting. Kedudukan Kompeni “C” dipisahkan dengan kedudukan Kompeni “D” oleh satu parit besar. Parit berkenaan penuh dengan minyak yang terbakar, akibat tumpahan daripada tangki simpanan di Depoh Normanton. Parit besar yang dipenuhi minyak yang terbakar ini menghalang pengunduran Kompeni “C” ke arah selatan. Kompeni “C” berada di bawah pemerintahan Kapten H.R. Rix, seorang pegawai yang pandai berbahasa Melayu. Kapten Rix menggesa askar-askarnya untuk berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Kapten H.R. Rix terbunuh bersama-sama anak buahnya dalam pertempuran di Bukit Candu. Askar Jepun cuba menggunakan muslihat untuk memperdayakan askar-askar Melayu yang bertahan di Bukit Candu. Mereka menghantar satu kumpulan askar Jepun yang menggunakan pakaian uniform askar Punjabi untuk cuba menghampiri kedudukan Kompeni “C” Askar Melayu . Tetapi, anggota-anggota kompeni “C” menyedari muslihat ini apabila melihat askar Jepun yang berpakaian uniform askar Punjabi tersebut berkawat dalam barisan berempat-empat dan bukannya dalam barisan bertiga-tiga seperti kelaziman pasukan Tentera British. Mereka dibiarkan hampir ke garisan pertahanan Kompeni “C” Askar Melayu sebelum dihujani dengan peluru dari mesingan Lewis , mengakibatkan kehilangan jiwa yang banyak dan ramai anggota Jepun yang lain cedera. Askar Jepun yang terselamat bergolek dan merangkak turun semula ke tempat selamat untuk menyelamatkan diri mereka.

SERANGAN TERAKHIR

Pada jam 4.00 petang, askar Jepun melancarkan serangan habis-habisan ke atas kedudukan Askar Melayu di Bukit Candu. Walaupun hampir kehabisan peluru dan dengan bilangan anggota yang jauh lebih sedikit berbanding dengan bilangan askar Jepun, Askar Melayu terus menentang serangan askar Jepun. Tetapi mereka tidak berdaya menahan serangan daripada pasukan yang jauh lebih besar dan pasukan Jepun terus mara menghampiri kedudukan Askar Melayu . Pelbagai senjata digunakan oleh Askar Melayu yang bertahan di sana, termasuklah bom tangan, pistol dan bayonet. Leftenan Muda Adnan bin Saidi menggunakan mesingan Lewis untuk menentang askar-askar Jepun dan berjaya membunuh ramai askar Jepun. Walaupun terpaksa bertempur dalam jarak dekat dengan kadangkala terpaksa menggunakan bayonet dan tangan mereka, Askar Melayu terus mematahkan usaha askar Jepun untuk menguasai kedudukan tersebut. Ramai pegawai dan anggota Askar Melayu yang menjadi korban. Leftenan Muda Adnan bin Saidi sendiri cedera parah, tetapi masih berdegil tidak mahu berundur dan terus memberikan tentangan. Keberanian beliau membakar semangat anak-anak buahnya untuk terus berjuang.

KEPERWIRAAN ASKAR MELAYU



Walaupun dilihat sebagai satu kekalahan kepada Askar Melayu, pertempuran ini melihatkan keperwiraan Rejimen Askar Melayu dan daya juang yang tinggi. Ada pihak yang berpendapat sekiranya pasukan artileri Australia yang berada berhampiran diberikan kebenaran membantu pasukan Askar Melayu semasa pertempuran ini, kemungkinan besar keputusannya agak berlainan, dan mungkin perwira-perwira Melayu ini akan mencapai kemenangan. Mubin Sheppard, seorang pegawai British yang menjadi tawanan perang selepas penyerahan diri Tentera British, menceritakan mengenai sahabatnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi sebagai … “walaupun bilangan musuh jauh lebih ramai daripada bilangan askar-askarnya, dan dia dibom secara berterusan, Adnan terus berjuang dan menyebabkan kemalangan jiwa yang besar di kalangan askar-askar Jepun. Adnan pasti tidak menyerah diri walau apapun yang terjadi. Dia begitu dedikasi kepada perjuangannya. Sebelum pertempuran, dia menyeru anggota-anggota platunnya untuk "biar putih tulang, jangan putih mata". Walau apapun, Tentera British, Tentera Australia, Tentera India British dan Tentera Jepun sendiri kagum dengan kebolehan Askar Melayu. Koperal Yaakob, salah seorang daripada hanya beberapa orang askar Melayu yang terselamat semasa Pertempuran Bukit Chandu menyaksikan pembunuhan Leftenan Muda Adnan. Dalam keliru pertempuran, Yaakob rebah dan jatuh di atas mayat askar-askar lain yang terkorban. Dia membuat seperti orang mati. Menurut Yaakob, tentangan hebat yang diberikan oleh Askar Melayu menyebabkan orang-orang Jepun naik berang dan apabila Adnan ditawan, mereka mengheretnya dan menolaknya masuk ke dalam satu karung guni. Askar Jepun kemudiannya menggantungkan Adnan dengan kaki di sebatang pohon ceri dan menikamnya menggunakan bayonet berulang kali. Leher Adnan juga dikelar berulang kali. Askar Jepun memberikan amaran kepada orang tempatan untuk tidak mengalihkan mayat Adnan, dan mayatnya tidak diusik walaupun lama selepas pertempuran tamat untuk diuruskan pengkebumiannya. Askar-askar Australia yang bertahan berhampiran dengan Bukit Chandu melihat keberanian Askar Melayu semasa pertempuran. Menurut Leftenan Penrod V. Dean dari pasukan Batalion 2/4 Mesingan, anggota Askar Melayu menggali kubu pertahanan tetapi jelas sekali mereka tidak mempunyai persenjataan yang banyak. Mereka menentang askar Jepun dengan menggunakan senapang sahaja, dan apabila askar Jepun berjaya menembusi benteng pertahanan mereka, askar-askar Melayu melawan mereka menggunakan bayonet. Mereka menyerbu askar Jepun menggunakan bayonet dan berjaya menangkis kemaraan askar Jepun ke arah Reformatory Road. Jelas sekali askar Melayu cukup berani. Mereka berjuang bermati-matian, tetapi bilangan askar Jepun terlalu ramai - untuk setiap orang anggota Askar Melayu ada 10 ataupun 12 orang askar Jepun. Keadaan mereka bagaikan retak menunggu belah.

KESUDAHAN



Keesokan hari Jeneral A. E. Percival megarahkan Tentera British untuk menyerah diri. Pihak Jepun mengasingkan pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari pasukan askar Melayu. Anggota-anggota lain pangkat dihantar ke Farrer Park untuk bersama-sama dengan askar-askar India. Kapten Rix dan kesemua pegawai British yang bertugas dengan Batalion Pertama Askar Melayu terbunuh. Burhan Muslim yang tinggal di Bukit Chandu menceritakan beliau bersama sepupunya pergi ke sebuah banglo di Bukit Chandu beberapa hari selepas pertempuran itu. Di dalam salah sebuah banglo di Pepys Lane, beliau melihat mayat-mayat yang dicincang bertaburan. Di dalam sebuah bilik terdapat mayat seorang pegawai Melayu. Lehernya telah dikelar berulang kali dan uniformnya berlumuran darah. Daripada lencana di uniform tersebut Burhan merumuskan mayat itu mayat seorang pegawai. Burhan merasakan mayat itu kemungkinan merupakan mayat Leftenan Adnan.

KORBAN

Sepanjang kempen mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu dan khususnya semasa mempertahankan Singapura pada 12 Februari hingga 14 Februari 1942, Rejimen Askar Melayu mengalami 159 orang pegawai dan anggota yang terbunuh (6 orang pegawai British, 7 orang pegawai Melayu dan 146 orang lain-lain pangkat). Ramai lagi yang cedera. Bilangan askar Jepun yang terbunuh dalam pertempuran dengan askar Melayu tidak diketahui, tetapi bilangannya tentu ramai.


KESAN

Walaupun telah menjadi tradisi bagi Tentera British untuk mewujudkan rejimen-rejimen terdiri daripada rakyat pribumi jajahan yang ditakluki, pihak British hanya bersetuju menubuhkan pasukan Askar Melayu dalam tahun 1936 setelah didesak oleh Raja-Raja Melayu. Apabila perang meletus, banyak pihak termasuk kepimpinan tentera British sendiri meragui keupayaan anggota-anggota Askar Melayu . Pada keseluruhannya, Pertempuran Pasir Panjang pada amnya dan Pertempuran Bukit Candu khususnya menampilkan keperwiraan anggota-anggota pasukan Askar Melayu , yang sebelum itu diragukan keupayaan mereka sebagai perwira. Menurut penulis British Noel Barber yang mengarang buku “Sinister Twilight”, menggambarkan pasukan Askar Melayu sebagai “sebuah pasukan tentera regular yang terdiri daripada anak-anak watan yang diperintah oleh pegawai-pegawai British yang berbahasa Melayu yang melukiskan kepincangan keputusan British untuk tidak mewujudkan lebih banyak pasukan sepertinya sebelum meletusnya perang, di mana askar-askar terdiri daripada anak-anak watan ini akan bermati-matian mempertahankan tanah air mereka”. Jeneral A. E. Percival sendiri mengambil maklum bahawa pasukan Askar Melayu telah menunjukkan apa yang dapat dicapai oleh pasukan yang mempunyai semangat esprit de corps dan disiplin diri yang tinggi. Anggota Askar Melayu bertahan di pertahanan mereka sehingga mereka gugur kesemuanya. Pertempuran Pasir Panjang dan Pertempuran Bukit Candu melibatkan pegawai dan anggota Askar Melayu mencontohkan bentuk pengorbanan tertinggi pasukan tersebut untuk menegakkan “tanggungjawab, kehormatan dan kedaulatan negara”. Pertempuran ini kini dikenangi di sebuah pusat peringatan Reflections at Bukit Chandu di Singapura dikendalikan oleh Arkib Negara Singapura.

Friday, September 9, 2011

12 SUMPAH PERAJURIT KOMANDO


1. Sebagai seorang anggota Tentera Malaysia, Saya sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara.


2. Saya akan sentiasa merasa megah dan tampan sebagai seorang anggota tentera Malaysia.


3. Saya akan sentiasa percaya kepada tuhan serta taat setia kepada Yang Di Pertuan Agong, Pasukan dan Ketua.

4. Saya akan sentiasa patuh pada undang-undang Negara serta membantu dalam perlaksanaannya.

5. Saya akan mengutamakan kepentingan Negara daripada keperluan peribadi sendiri.

6. Saya akan sentiasa bersikap sopan, ikhlas dan jujur.

7. Saya akan sentiasa menghormati kepercayaan serta tradisi dan adat resam bangsa-bangsa lain dalam masyarakat Malaysia.

8. Saya akan sentiasa membantu rakan-rakan seperjuangan saya dan memimpin mereka jika saya yang terkanan sekali dalam masa yang genting


9. Jika saya di tawan saya akan terus menentang dengan seberapa daya upaya dan apa sahaja cara yang sesuai.


10.
Saya tidak akan sekali-kali menyerah diri selagi saya masih ada kemampuan untuk menentang.

11. Sekiranya saya disoal siasat saya akan memberi tahu nombor tentera, pangkat dan tarikh lahir sahaja dan tidak sekali-kali maklumat- maklumat yang boleh mengancam atau mendatangkan akibat buruk kepada Negara,pasukan, ketua dan rakan-rakan saya.

12. Saya akan mengharumkan nama Bere Hijau dan juga rakan-rakan seperjuangan yang memakainya hingga akhir hayat saya.

Monday, September 5, 2011

Masih Adakah Keikhlasan

Pada zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan selalu menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat suka membaca novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa sebuah novel yang ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat seorang gadis di salah satu muka suratnya. Tertulis disitu "Catrina, ikhlas dan perlukan sahabat ".

Tergerak hati jejaka untuk mengutus surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke rumah, jejaka itu menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan gadis itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.

Hari betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka masih belum pernah bersua muka. Si jejaka ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis. Walaupun kedua-keduanya masih belum
melihat rupa masing-masing, tapi perasaan sayang tetap berbuku di hati.

Pada suatu hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan perang. Si jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka diutuskannya sepucuk surat berbunyi "kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan kamu masih sayang padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi pada hari perang diumumkan tamat nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenali kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu orang tuaku".

Maka pergi lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu

Beberapa bulan kemudian


Pada hari pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen
keretapi yang dijanjikan sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya. Diperhatikannya seorang demi seorang gadis yang berada di stesen keretapi itu sekiranya ada yang turut memegang bunga mawar merah sepertinya.

Tiba-tiba, si jejaka ternampak seorang gadis yang agak berisi, sedikit hitam dan berjerawat mukanya duduk di kerusi roda sambil melihat sekeliling seolah mencari seseorang. Kakinya kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi tangannya memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza dari imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut.

"Catrina?" Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama kedua ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu" kata jejaka itu. Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata, "aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu".


Berapa ramaikah manusia yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan kepada rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Catrina. Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?